Sunday, August 9, 2009

Akademi Zakat Selangor 2 (24-26 Julai 2009)

MasyaAllah.. Lama sungguh saya tak update blog ini. Tidak berkesempatan untuk mencuri-curi masa mengemaskini. Banyak pengalaman baru yang saya tempuhi dalam perjalanan mentafsir kehidupan dunia ini.

Hulu Langat
Sesudah berprogram di Shah Alam, kali ini saya bersama-sama Hariri dan Hafiz (zaujah turut serta) berpadu tenaga dan fikiran menjayakan satu lagi program Akademi Zakat Selangor di bawah payung Global Genius Consultant. Kali ini kami beralih angin. daripada tengah-tengah bandar Shah Alam, kami berhijrah ke kawasan peranginan di Hulu Langat pula. Kekuatan peserta kali ini adalah seramai 40 orang kesemuanya. Mereka terdiri daripada calon-calon SPM 2009.

Motivasi dan Teknik Belajar

Alhamdulillah saya juga turut berkesempatan berkongsi sedikit sebanyak pengalaman dan pengetahuan. Di samping menyampaikan modul Pusat Zakat, saya selitkan juga modul-modul seronok belajar daripada Global Genius Consultant. Kami percaya bahawa pembelajaran seharusnya dijalani dalam keadaan seronok. Soalnya, apakah teknik-teknik yang mampu merubah sesi pembelajaran kepada satu sesi yang menyeronokkan. Alhamdulillah, respon yang diberi amat memberansangkan:)

Tetapkan Sasaran anda!

Secara asasnya, kami menekankan perlunya bagi para peserta meletakkan sasaran yang jelas. Sememangnya banyak pakar motivasi memberi tips yang sama. Maka, sasaran sangat memainkan peranan yang penting kerana sasaran membuatkan diri kita terpandu untuk mencapai sesuatu. Bukan sahaja sasaran berbentuk kecemerlangan dalam SPM, malah sasaran ini perlu melangkaui akademik dengan mengambilkira kehidupan secara menyeluruh.

Hargailah Nikmat

Ada yang diberi kelapangan dalam kehidupan ini oleh Allah. Ada yang hidup dalam keadaan kesempitan yang teramat-sangat. Saya berbisik dengan rakan saya, Hariri, bahawa para peserta ini amat beruntung kerana mendapat bantuan daripada pusat zakat. Maka perlulah sentiasa beringat dan bersyukur atas segala nikmat yang Allah berikan:) Kelapangan yang dikecapi ini mungkin bila-bila masa sahaja akan ditarik. Pasti berlaku kesukaran umpama insan celik yang ditarik nikmat penglihatannya.
Buatlah keputusan

Segala teknik telah dikongsi. Pendedahan demi pendedahan telah dipaparkan. Pintu sudah dibuka, hanya diri sendiri yang berhak membuat keputusan untuk melangkah masuk melalui pintu tersebut. Maka adik-adik peserta, buatlah keputusan sekarang untuk menjadi lebih baik daripada sebelum-sebelum ini. InsyaAllah berkat usaha dan doa padaNya, anda semua mampu mengecap kejayaan yang diinginkan.

0 comments: