Monday, August 31, 2009

Merdeka! Merdeka! Merdeka!


Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan kepada seluruh rakyat Malaysia. Tahun ini genap 52 tahun kita mencapai kemerdekaan. Persoalan yang sering bermain di minda saya saban tahun adalah, "adakah kita benar2 Merdeka?"

Walaupun secara fizikalnya kita boleh berbangga kita telah merdeka, namun secara minda, kita masih berat dijajah. Kemerdekaan menurut Islam ditakrifkan apabila seseorang, sesuatu bangsa atau umat mendapat kemerdekaan daripada penjajahan dalam segala bentuk, baik penjajahan lahir atau batin.

Amat sedih dan merisaukan melihat kepada generasi muda pada waktu ini. Saya berkesempatan pada sambutan kemerdekaan dahulu untuk bersama-sama dengan rakan-rakan saya menjalankan ops dakwah pada malam kemerdekaan di KLCC. Sememangnya saya melihat satu pemandangan yang amat menyedihkan. Budaya hedonisme semakin mencengkam generasi muda. Masjid berdekatan hanya untuk golongan skema dan ustaz-ustaz sahaja.

Zaman muda ini sememangnya zaman yang cukup mencabar. Pada masa inilah darah muda membuak-buak ingin mencuba pelbagai perkara yang menyeronokkan. Zaman muda inilah mata kita 'buta'. Buta dalam membezakan mana yang seronok untuk kebaikan kita dan orang terdekat kita dan mana yang 'seronok-seronok' sahaja. Namun beban ini tidak seharusnya diletakkan sepanuhnya kepada golongan muda. Beban ini dipikul bersama oleh semu pihak. Pihak berkuasa dengan tanggungjawab mereka mengawal unsur hiburan melampau. Orang awam bertanggungjawab saling memperingati dsb.

Kemerdekaan pada hari ini hanya sekadar cuti, konsert, pembaziran duit, sampah-sarap bersepah-sepah, mabuk, dsb. Perkara-perkara ini tidak lari daripada sambutan kemerdekaan. Apakah sebenarnya yang ingin dicapai dengan mengadakan sambutan secara besar-besaran ini? Adakah anak-anak muda hari ini benar-benar merdeka dalam erti yang sebenar-benarnya? Merdekakah jiwa mereka?

Akhirnya, hari kemerdekaan ini hanyalah sebgai hari cuti umum, tidak lebih dari itu..

Thursday, August 20, 2009

Ahlan ya Ramadhan



Salam Ramadhan kepada semua. Alhamdulillah kita dipanjangkan umur bertemu sekali lagi dgn bulan mulia ini. Selamat berpuasa semua!!

Ahlan ya Ramadhan

"Panjatkan keampunan dalam bulan mulia ini"


Salam Ramadhan kepada semua!

Bulan penuh keberkatan

Sesungguhnya, bulan ramadhan adalah bulan yang sangat mulia dan penuh dengan barakah. Sebagai contohnya, dalam satu hadith riwayat Bukhari dan Muslim, apabila hadirnya bulan ramadhan, maka akan terbukalah pintu-pintu syurga dan tertutuplah pintu-pintu neraka dan dibelenggulah syaitan:


اِذََا جاَءَ رَمَضَانَُ فُتِحَتْ أَبْوَابُ الْجَنّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِيْنُ


Dalam bulan ini kita akan berdepan dengan musuh yang paling hampir dengan kita iaitu hawa nafsu. Manfaatkanlah sebulan berpuasa ini sebagai medan mendidik dan melenturkan hawa nafsu kita. Moga-moga, tamatnya Ramadhan, kita mampu menjadi hambaNya yang soleh!

Pertingkatkan Amalan

Bukanlah hanya pada bulan ini sahaja perlu untuk kita pertingkatkan amalan. Namun, mari ktia sama-sama menjadikan bulan ini sebagai permulaan kita meningkatkan amal ibadah kita. Moga-moga bulan ini mampu menjadi latihan kepada diri kita supaya kita terbiasa untuk sentiasa mempertingkat amal ibadat pada masa-masa akan datang. Amat rugilah bagi sesiapa yang membiarkan Ramadhan ini berlalu pergi begitu sahaja.

Puasa bukan hanya menehan diri dari lapar dan dahaga, tetapi puasa itu amat luas konotasinya. Sekiranya kita hanya mampu untuk menhan diri dari lapar dan dahaga sahaja, maka itu hanyalah puasa awam. Puasa ini merangkumi pelbagai aspek. Kata kunci utama adalah menahan diri dari sebarang perkara yang membatalkan puasa dan merosakkan pahala puasa. Maka, renung-renungkan kerja buat kita seharian:-)

Membentuk "self control"


Tidak boleh tidak, puasa ini adalah asas kepada kita mendidik diri kita supaya punyai kawalan diri yang tinggi. Bak kata abu saif (ustaz Hasrizal) ketika menyampaikan pengisian di firma kami, puasa melatih diri untuk menekan butang "pause". Dalam bulan ini, bukan sahaja kita mengawal nafsu makan dan minum kita, malah kita mendidik diri supaya mengawal diri daripada perkara-perkara lain yang mampu merosakkan pahala puasa kita.

Sebagai contoh, entah mengapa, fenomena yang acapkali berlaku ialah, dalam bualan puasa inilah orang cepat melenting. Maka puasa juga mampu mendidik kita agar mengawal amarah diri ini. Jika sesorang itu diprovokasi sehingga menaikkan amarahnya, seharusnya dia bersabar dan mengawal dirinya dan hanya berkata "Inni soim" (Sesungguhnya aku berpuasa). Dalam hadith di bawah ini, seseungguhnya kekuatan individu itu bukanlah diukur dengan kekuatan fizikalnya mengalahkan musuh, tetapi kekuatan dirinya mengawal kemarahan.

لَيْسَ الشَّدِيْدُ بِالسُّرْعَةِ وَاِنَّمَا الشَّدِيْدُ الَّذِيْ يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ.



Madrasah tarbiyyah yang terbaik

Marilah kita sama-sama menjalani ibadah puasa dengan penuh keimanan, moga-moga kita mampu menjadi hamba Allah yang lebih baik, insyaAllah.

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَاتَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.



Wednesday, August 19, 2009

KISAS adalah universiti? Bukan la..

Musykil saya membaca berita ini. Sejak bila Kolej Islam Sultan Alam Shah (my secondary school) ni tawarkan diploma or ijazah?

Diharapkan agar sidang redaksi akhbar KOSMO sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang berita.

Thursday, August 13, 2009

Alfatihah: Ustaz Asri


Mari kita sama-sama menyedekahkan al-Fatihah kepada Allahyarham Ustaz Asri (Rabbani) yang telah kembali ke rahmatullah kira-kira 11 pgi tadi. Sesungguhnya banyak jasa beliau dalam dunia dakwah terutamanya melalui seni hiburan nasyid. Moga dunia ini tidak kering daripada pendakwah-pendakwah muda yang meneruskan gerak kerja dakwah ini. insyaAllah!!

Sunday, August 9, 2009

Awlawiyyat : Keutamaan

Buatlah pilihan dengan bijaksana

Beberapa minggu yang lepas, ada sahabat saya bertanya pendapat saya antara pembelajaran (study) dengan jemaah/persatuan kampus, mana yang perlu diutamakan. Persoalan ini sememangnya biasa saya temui dan sesungguhnya persoalan ini bersifat subjektif. Bagi saya tidak ada satu jawapan mutlak terhadap persoalan ini. Jawapannya bergantung sepenuhnya pada pembacaan keadaan semasa dengan berlandaskan kaedah-kaedah fiqh. Kemudian, perlunya pilihan dibuat dengan bijaksana.

Fiqh Awlawiyyat


Apa yang dapat difahami adalah meletakkan sesuatu pada tangga peringkatnya yang sebenar dengan pertimbangan yang adil. Secara kasarnya ialah mendahulukan perkara yang penting berbanding yang kurang penting. Perkara yang wajib mestilah didahulukan berbanding perkara yang tidak wajib. Perkara berkaitan awlawiyyat ini boleh dikaji dengan meneliti ayat-ayat al-Quran dan juga hadith-hadith nabi, Sebagai contohnya, Rasulullah bersabda, "Berdiri di medan jihad sehari semalam, lebih utama ganjarannya daripada puasa dan qiyamullail sebulan lamanya".

Fiqh Awlawiyyat dan Fiqh Muwazzanat

Harus diingati bahawa, dalam menentukan keutamaan, pertimbangan juga harus diambilkira. Perbandingan di sini bermaksud menilai seuatu perkara dengan membandingkan pelbagai kemaslahatan atau manfaat dan juga keburukan. Dalam pertimbangan maslahah ini, para ulama' usul mengklasifikasikan maslahah kepada tiga bahagian (i) daruriyyah (yang paling penting), (ii) hajjiyyah (yang diperlukan) dan (iii) tahsiniyyah (pelengkap).

Beberapa panduan dalam mengutamakan maslahah adalah seperti berikut:
1. kemaslahatan yang besar ke atas kemaslahatan yang kecil
2. kemaslahatan jamaah (ramai) ke atas kemaslahatan individu
3. kemaslahatan yang kekal ke atas kemaslahatan yang sementara
4. kemaslahatan yang asasi ke atas kemaslahatan sampingan

Jemaah vs Study

Berbalik kepada persoalan ini, jika ingin dihurai dengan lebih terperinci, boleh diadakan satu slot ceramah(hehe..) Cukup saya menyentuh secara 'general' dan pandangan ini bersifat peribadi.

Haruslah sesorang itu mengambilkira kaedah-kaedah yang telah digariskan oleh Islam dalam menjawab persoalan ini. Jemaah/persatuan itu penting namun ianya tidak bermaksud 'study' tidak penting. Kedua-duanya penting kerana (i) perlunya sekumpulan manusia yang melakukan gerak kerja dakwah sepertimana yang disarankan dalam banyak ayat al-Quran dan hadith rasulullah. (ii) perlunya pembelajaran kerana ianya dituntut oleh agama agar Muslim sentiasa menimba ilmu. Kedua-duanya sama penting.

Belajar boleh di mana-mana sahaja

Pertimbangan perlu dilakukan dengan bijak. Memberi fokus melampau terhadap pembelajaran sehingga mengabaikan tanggungjawab dalam jemaah/persatuan, pada pendapat saya, adalah tidak kena. Begitu juga sekiranya fokus diberikan kepada jemaah/persatuan tanpa menitik-beratkan kepada akademik, turut salah bagi saya.

Jadi macam mana? Imam Hassan al-Banna mengatakan "tanggungjawab melebihi masa yang ada" Ini merupakan sesuatu yang boleh diterima. Maka bergantung kepada kebijaksanaan kita mencatur perjalanan hidup kita. Keseimbangan perlu ada antara kedua-dua tanggungjawab ini.

Kebijaksanaan mencatur

Dalam permainan catur, strategi paling penting. Di sini kita membuat pilihan mana yang perlu digerakkan dahulu, mana yang tidak, mana yang perlu dikorbankan dan mana yang penting untuk disimpan dan sebagainya. Begitu juga dalam soal ini.

Institusi jemaah/persatuan perlu bijak mencatur ahli-ahlinya menjalankan tanggungjawab dalam gerak kerja dakwah. Ahli-ahli pula perlu ada rasa tanggungjawab melaksanankan amanah yang telah diberikan. Acapkali berlaku bebanan tanggungjawab. Hal ini saya dapati berpunca daripada (i) kesilapan jemaah/persatuan mencatur strategi mengikut keupayaan ahli-ahli yang ada (ii) sifat/sikap segelintir ahli yang meninggalkan amanah sehingga orang lain yang terpaksa menampung (iii) individu yang gagal mengurus masa kehidupan seharian.

Individu juga berperanan untuk mengatur kehidupan seharian dengan bijak. Disiplin sangat penting dalam kehidupan. Fokus yang tinggi perlu diberi semasa sesi pembelajaran kerana (i) berkat daripada guru/pensyarah, (ii) mudah memahami pelajaran ketika guru/pensyarah masih ada di depan mata (iii) menjimatkan masa untuk mengulangkaji semula pembelajaran di dalam kelas. Soal pengurusan masa inilah yang selalu diabaikan oleh individu.

Kadang-kadang, percaturan jemaah/persatuan itu sangat baik, namun disebabkan kurangnya disiplin individu terhadap kehidupannya seharian menyebabkan pelbagai masalah timbul baik untuk dirinya sendiri mahupun kepada jemaah/persatuan.

Komunikasi sesama ahli jemaah/persatuan juga penting. Hal ini bagi mengelakkan tugasan diagihkan secara tidak adil (tidak meletakkan sesuatu di tempatnya). Contohnya seseorang itu akan menghadapi peperiksaan pada keesokan harinya, sebijaknya dia dilepaskan untuk membuat ulangkaji terakhir daripada disibukkan dengan gerak kerja lain. Maka rancang dan buatlah pilihan dengan bijaksana. (wallahua'lam)

Akademi Zakat Selangor 3


Kali ini kami Global Genius Consultant ("GGC") sekali lagi kembali ke Hulu Langat bagi menganjurkan program Bijak Belajar yang ketiga. Walaupun bilangan peserta yang hadir kali ini lebih kecil daripada program sebelum ini, namun mereka tetap hebat dan "happening"!

Kali ini GGC turut disertai En Amin Idris selaku trainer berpengalaman. Jadi, kebanyakan slot dikendalikan oleh beliau;) Malah, En Ahmad Fadzly juga sempat meluangkan masa untuk berkongsi input dengan para peserta kali ini. Sememangnya mereka adalah trainer yang sangat berpengalaman. (kene banyak menuntut nih)

Saya sempat berkongsi dengan para peserta beberapa syarat asas untuk menimba ilmu:

Hubungan dengan Allah

Perlu disedari bahawa Allah adalah pemberi segala-galanya. Biar kuat mana pun usaha kita lakukan, tetapi hubungan kita dengan Allah tidak terjaga, belum tentu kejayaan itu akan datang kepada kita. Imam Waqi' berpesan kepada anak muridnya, Imam Syafi'ie, bahawasanya ilmu itu adalah Nur (cahaya), dan cahaya ini tidak akan masuk ke dalam hati manusia yang banyak melakukan maksiat. Maka dalam saat-saat terakhir ini, pertingkatkanlah amalan dan hubungan kita dengan Allah.

Hubungan sesama manusia

Sesungguhnya hamba Allah itu adalah mereka yang berjalan di muka bumi Allah ini dalam keadaan rendah diri. Hubungan sesama manusia juga amat penting. Terutamanya akhlak kita kepada ibu bapa dan guru-guru. Ibu bapa berjasa besar dalam menjaga dan membesarkan kita. Guru-guru pula dimuliakan kerana ilmu mereka dan jasa mereka mencurahkan ilmu kepada kita. Mereka ini penting kerana mereka adalah asbab kepada kita mengenal dunia dan berpendidikan:)

Hormati Ilmu


Perkara ini amat kurang diberi perhatian oleh kebanyakan orang. Kadang-kadang dapat dilihat buku-buku dibiarkan bersepah-sepah di atas lantai, dipijak-pijak dan sebagainya. Lebih menyedihkan lagi, kadang-kadang ada antara buku-buku atau nota-nota ini terdapat ayat-ayat suci al-Quran. Beradablah dengan ilmu kerana ilmu inilah yang membezakan kita dengan orang lain.

Tahniah kepada adik Shukri kerana terpilih sebagai pemenang hadiah istimewa daripada GGC. Kepada yang lain, tahniah juga kerana berjaya menghadirkan diri dan menjalani ke program ini. Andan sememangnya layank untuk mengecapi kejayaan!

Akademi Zakat Selangor 2 (24-26 Julai 2009)

MasyaAllah.. Lama sungguh saya tak update blog ini. Tidak berkesempatan untuk mencuri-curi masa mengemaskini. Banyak pengalaman baru yang saya tempuhi dalam perjalanan mentafsir kehidupan dunia ini.

Hulu Langat
Sesudah berprogram di Shah Alam, kali ini saya bersama-sama Hariri dan Hafiz (zaujah turut serta) berpadu tenaga dan fikiran menjayakan satu lagi program Akademi Zakat Selangor di bawah payung Global Genius Consultant. Kali ini kami beralih angin. daripada tengah-tengah bandar Shah Alam, kami berhijrah ke kawasan peranginan di Hulu Langat pula. Kekuatan peserta kali ini adalah seramai 40 orang kesemuanya. Mereka terdiri daripada calon-calon SPM 2009.

Motivasi dan Teknik Belajar

Alhamdulillah saya juga turut berkesempatan berkongsi sedikit sebanyak pengalaman dan pengetahuan. Di samping menyampaikan modul Pusat Zakat, saya selitkan juga modul-modul seronok belajar daripada Global Genius Consultant. Kami percaya bahawa pembelajaran seharusnya dijalani dalam keadaan seronok. Soalnya, apakah teknik-teknik yang mampu merubah sesi pembelajaran kepada satu sesi yang menyeronokkan. Alhamdulillah, respon yang diberi amat memberansangkan:)

Tetapkan Sasaran anda!

Secara asasnya, kami menekankan perlunya bagi para peserta meletakkan sasaran yang jelas. Sememangnya banyak pakar motivasi memberi tips yang sama. Maka, sasaran sangat memainkan peranan yang penting kerana sasaran membuatkan diri kita terpandu untuk mencapai sesuatu. Bukan sahaja sasaran berbentuk kecemerlangan dalam SPM, malah sasaran ini perlu melangkaui akademik dengan mengambilkira kehidupan secara menyeluruh.

Hargailah Nikmat

Ada yang diberi kelapangan dalam kehidupan ini oleh Allah. Ada yang hidup dalam keadaan kesempitan yang teramat-sangat. Saya berbisik dengan rakan saya, Hariri, bahawa para peserta ini amat beruntung kerana mendapat bantuan daripada pusat zakat. Maka perlulah sentiasa beringat dan bersyukur atas segala nikmat yang Allah berikan:) Kelapangan yang dikecapi ini mungkin bila-bila masa sahaja akan ditarik. Pasti berlaku kesukaran umpama insan celik yang ditarik nikmat penglihatannya.
Buatlah keputusan

Segala teknik telah dikongsi. Pendedahan demi pendedahan telah dipaparkan. Pintu sudah dibuka, hanya diri sendiri yang berhak membuat keputusan untuk melangkah masuk melalui pintu tersebut. Maka adik-adik peserta, buatlah keputusan sekarang untuk menjadi lebih baik daripada sebelum-sebelum ini. InsyaAllah berkat usaha dan doa padaNya, anda semua mampu mengecap kejayaan yang diinginkan.