Friday, February 1, 2008

Pemergian seorang Ulama'

Pemergian bekas Mufti Negeri Selangor Dato' Ishak Baharom ke rahmatullah amat dirasai oleh masyarakat Islam, lebih-lebih lagi bagi mereka yang memperjuangkan syiar Islam negara ini

Timbalan Presiden Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Muhammad Burok berkata, semasa memegang jawatan Mufti dahulu Allahyarham banyak bekerjasama dengan para peguam syarie demi memantapkan undang-undang Islam terutama berkenaan undang-undang jenayah Islam di Selangor.
"Sebagai peguam syarie saya rasa beliau banyak mencurah jasa kepada kami," katanya sambil mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham.
Bekas Mufti Selangor Dato' Ishak Baharom, 80 meninggal dunia di Hospital Sungai Buluh, 30/1/2008 pada jam 2.50 petang.
Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Lipat Kajang, Klang, Selangor pagi tadi sebelum dikebumikan di Makam DiRaja, Shah Alam.
Beliau yang menjawat jawatan mufti Selangor dari tahun 1985 hingga 1997 dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital tersebut petang kelmarin akibat masalah tekanan darah.
Pendakwah dan Perunding Motivasi, Ustaz Shukri Mohd Yusuf menyifatkan kematian Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada masyarakat Islam di Malaysia khususnya.
Katanya, umum mengenalinya sebagai seorang yang lembut dalam kata-katanya tetapi tetap mempunyai ketegasan.
"Semua orang melihat Allahyarham sebagai contoh ulama yang berani memperkatakan kebenaran dalam pelbagai situasi.
Sebagaimana kisah-kisah keberanian ulama dahulu, masyarakat Islam cukup bertuah sebab dalam dunia hari ini sifat keberanian itu ada kepada orang Melayu iaitu Dato' Ishak Baharom.
Ketegasan Allahyarham katanya, memberi gambaran bahawa kepentingan Islam mengatasi kepentingan diri dan kedudukannya dalam menyammpaikan Islam yang tepat dan jelas kepada masyarakat.
Pada masa sama katanya, Allahyarham memiliki sifat tawaduk dan rendah diri sama ada ketika berjawatan mufti atau selepas tidak lagi memegang jawatan tersebut.
Allahyarham seorang tokoh agama yang berani menyatakan pendirian contohnya semasa menyatakan pandangan dalam kes ratu cantik dan isu rokok dan di sini menampakkan beliau seorang yang tegas demi kesucian Islam.

0 comments: