Thursday, April 2, 2009

“Islah Nafsaka Wad’u Ghairak”


Saya ingin berkongsi satu cerita yang saya perolehi lama dulu. Tiba-tiba teringat. Samada saya terbaca di mana-mana laman web ataupun daripada emel saya sendiri.

Sepasang suami isteri baru sahaja berpindah ke rumah baru. Pada suatu pagi, tatkala pasangan suami isteri ini bersarapan di meja dapur bersebelahan dengan tingkap rumah mereka, si isteri berkata kepada suaminya, “jiran kita tidak membasuh baju-bajunya dengan bersih la. Dia perlu belajar membasuh dengan lebih baik atau mungkin perlukan sabun basuh yang sesuai” Si isteri berkata sambil menuding ke arah rumah jiran mereka yang pada ketika itu sedang menyidai pakaian yang baru sahaja di basuh. Si suami melihat ke rumah jiran mereka tetapi hanya berdiam diri tanpa memberi sebarang respon.

Perkara ini berterusan hampir sebulan lamanya. Tiap-tiap kali si isteri memberi komen yang serupa, si suami tetap berdiam tanpa memberi sebarang respon terhadap apa yang diperkatakan oleh isterinya itu.

Pada suatu hari, semasa bersarapan, si isteri berkata, “ha, jiran kita akhirnya sudah belajar membasuh dengan betul”. Si suami menoleh ke arah rumah jiran mereka dan bersuara, “ohh.. pagi ini saya terjaga awal. Jadi saya ambil kain buruk dan lap tingkap rumah kita ni. Kotor sangat dah”. Si isteri terdiam.

Cerita ini amatlah pendek dan memberi satu situasi mudah kepada pembaca. Kebanyakan masa, kita sering terpengaruh dengan persepsi kita kepada orang lain. Kita sering memberi penghakiman kepada orang lain tanpa kita mengenali terlebih dahulu budi pekerti orang tersebut.

Teringat saya kepada satu nasihat yang diberi kepada saya oleh saudara Amin Idris. Segala-galanya berpunca dari hati. Apabila kita punyai niat untuk baik dengan seseorang yang kita temui, maka ianya akan terpancar pada wajah kita. Berbeza jika kita sudah memasang niat negatif terhadap orang yang kita temui.
Maka, moga kita sama-sama dapat membersihkan ‘tingkap’ diri kita sentiasa sebelum kita menyalahkan orang lain, insyaAllah.

0 comments: