Selama perkara itu tidak melalaikannya daripada kewajipan agama, bersesuaian dengan nilai akhlak dan bersesuaian pula dengan kedudukannya, maka ia diharuskan.
Hadis yang difahami oleh ulama sebagai mengharamkan nyanyian adalah penafsir yang terikat dengan hiburan murahan, arak, perempuan, maksiat dan pelacuran. Hadis itu tidak boleh difahami secara mutlak.
Oleh itu mendengar nyanyian dan muzik yang bercampur dengan perkara haram adalah haram. Jika nyanyian dan muzik itu bersih daripada unsur haram, maka haruslah mendengarnya.
Ali Tantawi pula berpendapat bahawa syarak tidak mengharamkan mendengar nyanyian dan muzik daripada seni kata yang tersusun elok. Ia seperti yang dibolehkan manusia mendengar suara merdu burung seperti burung merbuk. Hal ini bererti nyanyian dan muzik bukan haram pada zatnya, tetapi diharamkan kerana ada unsur lain yang mempengaruhinya. Pertama, kerana susunan kata yang haram.
Kedua, penyanyi perempuan menyanyi untuk lelaki yang bukan mahramnya.
Ketiga, masa persembahan nyanyian yang menghalang kewajipan agama atau melalaikan orang.
Keempat, majlis yang disertai minuman haram dan percampuran lelaki dan perempuan yang tidak terhad.
Kelima, kesan nyanyian kepada pendengar tertentu yang membawa kepada berkelakuan buruk.
Jika nyanyian itu bersih daripada unsur itu, maka adalah tidak haram dan ia adalah harus seperti asalnya. Adapun keadaan persembahan nyanyian masa kini yang dilakukan oleh penyanyi lelaki dan perempuan, dengan pendedahan aurat dan percampuran bebas, membazir wang dan meletakkan penghargaan yang tinggi kepada penyanyi lebih daripada kepada ilmuwan, pendidik dan sebagainya, maka tidak syak lagi ia adalah haram dalam Islam.
Muhammad al-Ghazali pula berpendapat bahawa nyanyian dan muzik yang tidak mengandungi unsur haram adalah tidak haram. Ia banyak membawa hujah yang digunakan oleh Ibn Hazm dan Imam al-Ghazali. Tetapi beliau mengharamkan nyanyian dan muzik serta perkara lain yang bercanggah dengan akhlak Islam seperti patung, gambar lucah, tarian secara individu dan kumpulan kerana semuanya ini seni yang jijik dan buruk dan bukannya seni yang indah dan menarik.
Yusof al-Qardawi pula berpendapat bahawa persoalan nyanyian tanpa muzik dan yang diiringi dengan muzik adalah persoalan yang dibincangkan oleh ulama sejak kurun pertama lagi. Ia menimbulkan pelbagai pendapat, ada yang disepakati dan ada yang berbeza.
Ulama sepakat berpendapat semua nyanyian yang mengandungi unsur fasik, pelacuran atau mendorong melakukan maksiat adalah haram. Nyanyian itu sendiri ialah susunan kata-kata, jika baik kata-kata yang bercanggah dengan adab dan akhlak Islam, maka hukumnya haram.
5 perkara jadikan hiburan haram
Begitu juga dibolehkan mencipta syair yang menggalakkan orang mencintai akhirat dan bencikan keburukan dunia serta nyanyian pada majlis perkahwinan, yang menggalakkan ketaatan kepada Allah dan berakhlak mulia.
Diperhatikan pendapat ulama dalam memahami dalil daripada al-Quran dan hadis mengenai nyanyian, menunjukkan pada dasarnya ia tidak haram. Tetapi hukumnya akan berubah menjadi haram disebabkan oleh seni kata yang haram seperti perkataan lucah, memuja dan memuji perkara haram. Begitu juga cara persembahan yang tidak menutup aurat dan pergerakan yang menaikkan nafsu. Selain itu, dihidangkan minuman keras, persembahan yang melekakan di sepanjang malam dan sebagainya.
Imam al-Ghazali berpendapat bahawa mendengar nyanyian ada yang harus dan sunat. Selain itu, ada pula haram.
Nyanyian yang haram disebabkan oleh
Penyanyi
Penyanyi perempuan haram melihatnya dan mendengar suaranya kerana ditakuti berlaku fitnah. Kedudukan haramnya sama dengan melihat budak lelaki muda, jika melihatnya menimbulkan fitnah. Perkara ini haram kerana disebabkan kebimbangan yang membawa kepada fitnah, bukannya haram kerana nyanyian.
Alat muzik yang digunakan dalam nyanyian ialah adat yang menjadi simbol kepada majlis maksiat dan minum arak seperti serunai, biola dan rebana qublah. Menurut al-Ghazali ketiga-tiga jenis alat muzik ini ditegah. Manakala yang lainnya adalah harus.
Seni kata
Seni kata yang digunakan mengandungi celaan, cacian serta membohongi Allah, rasul-Nnya dan sahabat seperti lirik yang dilagukan oleh golongan yang mencela sahabat semuanya haram. Begitu juga seni kata yang menggambarkan keindahan perempuan secara khusus di hadapan lelaki.
Tanggapan pendengar
Tanggapan pendengar terhadap nyanyian yang boleh mendorong kepada nafsu lebih banyak daripada yang lain seperti seorang belia yang masih muda remaja, maka haramlah hukumnya.
Pandangan orang awam
Pandangan seorang awam yang kurang perhubungannya dengan Allah dan suka mendengar nyanyian. Jika banyak masanya dihabiskan mendengar nyanyian, maka boleh membawa kepada kerja-kerja yang tidak berguna dan sia-sia.
Syaitan guna muzik lalaikan manusia
SENI suara sama ada bunyi-bunyian, muzik dan nyanyian adalah sebahagian daripada budaya hidup manusia. Setiap bangsa mempunyai seni suara yang tersendiri. Pada umumnya seni suara bertujuan mendapat hiburan dan keseronokan.
Antara hiburan yang dapat menghibur jiwa dan menenangkan hati serta mengenakkan telinga ialah nyanyian. Hal ini dibolehkan oleh Islam, selama tidak dicampuri cakap kotor, cabul dan yang kiranya dapat mengarah kepada perbuatan dosa.
Tidak salah pula kalau disertainya dengan muzik yang tidak membangkitkan nafsu. Bahkan disunatkan dalam situasi gembira, guna melahirkan perasaan riang dan menghibur hati, seperti pada hari raya, perkahwinan, kedatangan orang yang sudah lama tidak datang, saat walimah, akidah dan pada waktu lahirnya seorang bayi.
Jelasnya, Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna. Kedatangannya untuk memberi rahmat kepada alam seluruhnya. Ia bukan untuk menyekat dan menghalang minda serta kecenderungan manusia, tetapi membimbing dan mengarah ke arah kebaikan dan kemuliaan insan.
Justeru, Islam membebaskan manusia daripada belenggu kongkongan dan kawalan nafsu dan syaitan.
Dalam membincangkan mengenai muzik dan nyanyian ada beberapa pandangan dan tafsiran ulama terdahulu dan terkini terhadap nas al-Quran dan hadis mengenainya.
l Dalil al-Quran.
Allah berfirman bermaksud: “Dan antara manusia (ada), orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) daripada agama Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan agama Allah itu sebagai ejekan. Mereka berhak menerima azab yang hina.” (Surah Luqman, ayat 6)
Kebanyakan ulama tafsir berpendapat bahawa ‘laghwa al-hadis’ ialah nyanyian. Allah berfirman yang bermaksud: “Pujuklah (wahai iblis) siapa yang engkau mampu antara mereka dengan menggunakan ajakanmu Sawtika.” (Surah al-Isra’, ayat 64)
Mujahid menjelaskan ajakanmu (Sawtika) dalam ayat ialah nyanyian dan serunai. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan penyair-penyair itu diikuti oleh golongan yang sesat. Tidaklah kamu perhatikan mereka merayau-rayau di tiap-tiap lembah dan mereka memperkatakan apa yang mereka tidak lakukan kecuali orang yang beriman dan beramal salih, banyak mengingati Allah serta mereka membela diri selepas dizalimi. Dan orang yang zalim akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali.” (Surah al-Syu’ara, ayat 224-227)
Apa yang dapat difahamkan dalam ayat di atas bahawa Allah mengutuk nyanyian yang digunakan untuk menyesatkan manusia daripada agama Allah. Begitu juga syaitan menggunakan media nyanyian dan muzik untuk melalaikan manusia daripada tanggungjawabnya terhadap agama Allah.
Seterusnya, Allah mengecam penyair yang tidak beriman dan menjalankan kegiatan hidupnya tanpa matlamat, berusaha menyesatkan orang ramai dan mencari pengaruh dengan menggunakan syairnya. Tetapi penyair beriman dan beramal salih serta sentiasa menjalankan tanggungjawab agama dengan baik tidak termasuk dalam golongan yang dikutuk oleh Allah. Hal ini kerana syair mereka mengajak orang ramai kepada kebaikan.
l Dalil hadis.
Dalam sahih al-Bukhari meriwayatkan bahawa Saidatina Aisyah mengahwinkan seorang perempuan dengan seorang lelaki Ansar, maka Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Wahai Aisyah tidakkah ada hiburan berserta kamu kerana orang Ansar gemar kepada hiburan.”
Dalam sahih Muslim pula ada meriwayatkan bahawa Aisyah berkata (maksudnya): “Rasulullah masuk dan bersamaku ada dua jariah (hamba perempuan) yang sedang menyanyi dengan nyanyian perang Bu’ath, lalu Rasulullah berbaring di atas tilam dan memalingkan mukanya.
Kemudian Abu Bakar pula masuk dan menengking aku lalu berkata: “Serunai syaitan ada di sisi Rasulullah. Maka Rasulullah menghadapkan mukanya kepada Abu Bakar dan berkata: “Biarlah mereka berdua.” Selepas Rasulullah memejamkan matanya aku mengisyaratkan dengan mata kepada kedua-duanya maka mereka pun keluar...”
Dalam riwayat lain pula bermaksud: “Abu Bakar masuk dan bersamaku ada dua jariah dari kaum Ansar sedang menyanyi dengan nyanyian orang Ansar mengenai Bu’ath. Aisyah berkata kedua-duanya bukan penyanyi. Abu Bakar berkata: Adakah ada serunai syaitan dalam rumah Rasulullah. Kejadian itu berlaku pada hari raya. Rasulullah berkata: “Hai Abu Bakar setiap kaum ada hari raya, maka ini ialah hari raya kita.”
Ahmad meriwayatkan daripada Anas, katanya (yang bermaksud): “Orang Habsyah menyanyi di hadapan Rasulullah dan menari seraya berkata, “Muhammad hamba yang soleh.” Maka Rasulullah bertanya: “Apa yang mereka kata?” Sahabat menjawab: “Mereka berkata Muhammad hamba yang soleh.”
At-Tirmizi pula meriwayatkan daripada Aisyah katanya, Rasulullah bersabda bermaksud): “Isytiharkan perkahwinan ini dan akadlah di masjid serta palulah rebana.”
Hadis di atas menjelaskan bahawa nyanyian dan bunyian boleh diadakan dalam majlis perkahwinan, hari perayaan dan kebesaran tertentu dan juga peperangan.
Begitu pun, ada nas hadis yang mengharamkan nyanyikan antaranya: Abu Daud meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya nyanyian menumbuhkan nifak dalam hati.”
Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: “Beberapa orang dari kalangan umatku meminum arak dan mereka namakannya bukan dengan nama arak. Mereka dialunkan oleh suara biduanita dan dihiburkan oleh muzik.”
Hadis di atas adalah sebahagian daripada hadis Rasulullah yang menyebut dengan jelas larangan terhadap orang yang menyanyi, bermain muzik dalam majlis hiburan yang disediakan dengan minuman arak, penyanyi perempuan dan unsur maksiat lain.
0 comments:
Post a Comment