Wednesday, June 4, 2008

Rasional pindaan AUKU


MUHAMMAD ZUKHAIRI MUHAMMAD SALEHUDDIN
UIAM

REAKSI Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan pemindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan juga caj tiga peratus Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) selepas menghadiri Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan baru-baru ini pasti disambut baik oleh sebilangan besar mahasiswa di negara ini.

Sejak beberapa tahun lalu, kedua-dua perkara ini hangat dibicarakan oleh seluruh mahasiswa. Perdebatan yang tidak henti-henti ini diharapkan akhirnya dapat memberi kesan yang amat baik kepada warga mahasiswa sekalian.

Bagi merealisasikan hasrat kerajaan dalam membina masyarakat yang mempunyai minda kelas pertama, golongan mudalah yang menjadi harapan dan tumpuan pembentukan minda kelas pertama ini.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa golongan mahasiswa atau golongan muda inilah merupakan aset sesebuah negara yang amat berharga. Jika salah corak yang dilakar, maka buruklah golongan muda yang bakal menjadi pemandu negara satu ketika nanti. Maka, satu budaya analitikal dan kritikal perlu dibentuk agar golongan ini mampu mencabar minda mereka ke tahap maksimum.

Kebebasan dalam mengutarakan pendapat yang kritis juga perlu diberi agar mahasiswa mempunyai jiwa besar. Segala kekangan yang mampu menghalang dan menakut-nakutkan sebilangan besar mahasiswa perlu dialihkan.

Di samping itu, kegiatan kemasyarakatan perlu dipergiat lagi. Daripada aktiviti seumpama inilah mahasiswa dapat menyelami keadaan masyarakat di luar sana dan mampu menerapkan semangat saling membantu, bertanggungjawab serta toleransi antara satu sama lain.

Keterlibatan bersama badan bukan kerajaan juga mampu membantu menjadi mangkin kepada hasrat murni kerajaan dalam melahirkan masyarakat minda kelas pertama. Melalui aktiviti seumpama ini, mahasiswa tidak akan hanya terkongkong dan terikat dengan kelas dan kawasan kampus sahaja. Sebaliknya mahasiswa lebih terbuka dan matang dalam memahami keadaan negara serta menghargai keadaan yang ada.

Menyorot kembali era kemahasiswaan dahulu kala, mahasiswa merupakan mereka yang petah dan lantang berbicara. Pentas pengucapan umum perlu dibuka semula bagi memastikan mahasiswa mampu membina keyakinan diri serta mempelajari disiplin mengutarakan pandangan melalui sumber dan fakta yang konkrit.

Kerenah birokrasi yang wujud dapat dikendurkan agar tidak membantutkan proses perkembangan mahasiswa, aset negara ini.

Jika sistem sedia ada mampu juga melahirkan mahasiswa yang berketerampilan, maka saya percaya dengan sedikit lagi kelonggaran mampu melahirkan mereka yang lebih berketerampilan serta mampu berdaya saing dengan negara-negara lain.

Berkaitan PTPTN, sekiranya dapat dihapuskan caj tiga peratus itu, semestinya ia merupakan berita yang melegakan buat seluruh mahasiswa. Dengan masih adanya isu pengangguran, kos hidup yang semakin tinggi, sudah pasti jika dapat dihapuskan caj ini, ia dapat melegakan sedikit para graduan yang baru menginjak dalam dunia pekerjaan.

Isu riba atau tidak, sudah begitu banyak seminar dan pembentangan kertas kerja dilakukan. Paling tidak, sekiranya perlu dikenakan caj perkhidmatan, biarlah sistemnya betul dan tepat. Hal ini juga dilihat sebagai bertepatan dengan negara kita yang meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi dalam perlembagaan negara. Pemurniaan demi pemurniaan dalam sistem sedia ada perlu diteruskan demi menjunjung semangat yang diterap ke dalam perlembagaan negara.
Adalah menjadi harapan agar berlakunya perubahan dan pemurniaan dalam kedua-dua perkara ini yang telah menjadi bahan debat sejak dahulu lagi.

Moga-moga usaha melahirkan masyarakat minda kelas pertama dapat direalisasikan dengan sedikit perubahan ini.

1 comments:

Anonymous said...

TAHNIAH. Tulisan artikel yang sangat ilmiah & bermanfaat. Ana respect TUAN