Saturday, May 17, 2008

Reaksi cadangan Zaid

Oleh AZMAN ANUAR
(WARTAWAN UTUSAN)
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0517&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

USAHA-USAHA pembaharuan kepada sistem perundangan negara sedang diperkenalkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Langkah pertama, Zaid sudah mendedahkan bahawa kerajaan akan mewajibkan pelajar jurusan undang-undang mengikuti kursus Common Bar Course (CBC) serta lulus Common Bar Examination (CBE) bagi menggantikan peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) sebelum layak berkhidmat sebagai peguam di negara ini.

Cadangan memansuhkan CLP yang diwajibkan sebelum ini ke atas pelajar undang-undang lulusan luar negara yang diperkenalkan pada 1984 mendapat reaksi pelajar tempatan.

Memang ada baiknya peraturan baru itu yang bertujuan meningkatkan kualiti industri guaman negara dimulakan dari peringkat awal sejurus pelajar keluar dari 'fakulti undang-undang' sama ada dari dalam atau luar negara.

Menurut Zaid yang mengumumkan perkara ini di Parlimen; "Apa yang kita harapkan, apabila ada CBC dan CBE ini, kita dapat kekal standard serta menghasilkan peguam yang berkualiti tinggi agar kita mempunyai industri dan perkhidmatan perundangan serta juga hakim bermutu tinggi.

"Dengan satu peperiksaan yang seragam untuk kesemua lulusan undang-undang ia akan membolehkan satu piawaian yang seragam dilakukan untuk mereka yang mahu bergelar peguam.

"Ini pastinya dapat meningkatkan tahap profesion peguam dan sekali gus kepada keseluruhan sistem perundangan itu sendiri," katanya.

Hasrat pentadbiran kerajaan memperkenalkan peperiksaan yang seragam sebelum individu berkelayakan diterima masuk sebagai peguam mempunyai matlamat yang baik.

Bagaimanapun pembaharuan ini mendapat reaksi kurang senang di kalangan pelajar undang-undang yang menuntut di dalam negara.

Sebelum ini mereka tidak perlu mengikuti CLP kerana ia khas kepada pelajar lepasan luar negara. Oleh itu satu kejutan kepada mereka apabila CLP dimansuhkan sebaliknya mereka dikehendaki pula menduduki CBE - sama yang dikenakan kepada pelajar lulusan luar negara jika mahu menjadi peguam.

Barangkali pelajar undang-undang dalam negara berasa berlaku ketidakadilan, sungguhpun kerajaan berhasrat hendak melakukan pembaharuan dalam sistem kehakiman dan menambah baik mutu pentadbiran keadilan negara.

Bagi mereka adalah tidak adil jika pelajar undang-undang dari luar negara yang lazimnya tamat pengajian dalam masa tiga tahun sedangkan di negara ini empat tahun, mendahului mereka dalam mengambil CBE dan jika lulus, layak bergelar peguam bertauliah. Mengapa mereka yang terpaksa belajar selama empat tahun, turut dikenakan mengambil CBE?

Dalam hal ini peguam bela, Mohd. Yusmadi Mohd. Yusof berpandangan, cadangan Zaid itu sepatutnya selari dengan sistem modul perundangan di universiti negara ini.

KeperluanCadangan beliau seolah-olah hanya memenuhi keperluan pelajar undang-undang luar negara sahaja.

"Sekiranya kualiti peguam yang dikatakan memberi permasalahan hendak diatasi, maka penyeragaman dalam sistem pengajian undang-undang untuk pelajar dalam negara ini juga perlu dikaji.

"Tidak adillah sekiranya pelajar dalam negara terpaksa melalui tempoh empat tahun pengajian sedangkan pelajar di luar negara tamat pengajian tiga tahun dan boleh menduduki peperiksaan itu. Untuk itu dicadangkan pelajar tempatan dibenarkan mengambil peperiksaan seawal tempoh pengajian tiga tahun," kata Mohd. Yusmadi ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut beliau, dalam modul pengajian undang-undang di universiti tempatan sekarang, pada tahun empat baharu pelajar didedahkan amalan profesion guaman, sedangkan pelajar luar negara pula pulang untuk menduduki CBE. Oleh itu kajian patut dibuat bagi mengkaji semula tempoh pengajian undang-undang dalam negara ini sama ada perlu disingkatkan atau tidak.

Apa pun, pembaharuan yang sedang dikaji ini bermula dari peringkat awal individu untuk ditauliah sebagai peguam bertujuan menjaga martabat profesion guaman.

Masalah pelanggaran etika guaman dan persoalan kecekapan pengendalian kes oleh peguam-peguam juga perlu ditangani. Imej dan mutu bidang guaman negara ini perlu dibaiki.

Dalam hal ini Yusmadi menyentuh kualiti pegawai-pegawai undang-undang dalam jabatan kerajaan. Masyarakat kini telah memperkatakan kualiti pegawai undang-undang kerajaan misalnya pegawai timbalan pendakwaraya yang gagal mengemukakan kes jenayah di mahkamah.

Oleh itu, beliau mencadangkan CBE patut juga melibatkan mana-mana individu terutama pegawai undang-undang kerajaan yang ingin menjadi peguam bela atau peguam cara.

"Ini penting supaya kualiti peguam dalam sektor swasta dan kerajaan ada keseimbangan. Sebelum ini, ramai yang memperolehi ijazah undang-undang terus berkhidmat dengan kerajaan tanpa mengambil peperiksaan CLP.

"Jika pegawai undang-undang kerajaan diarah mengambil CBE, mereka mungkin memberi perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat. Malah rakyat tidak akan mempersoalkan mutu pendakwaan bagi kes-kes jenayah berprofil tinggi sebagaimana dihadapi pihak berkuasa sebelum ini," kata Mohd. Yusmadi.

Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Zukhairi Muhammed Salehudin yang menulis surat kepada Utusan Malaysia menyatakan di sebalik hasrat murni Zaid itu, sebilangan mahasiswa khuatir dengan cadangan pengenalan CBC yang akan diwajibkan kepada semua graduan undang-undang mengikutinya sebelum layak diterima masuk sebagai peguam.

Beliau amat berharap agar isu berkaitan kos pengajian CBC, pengisian dan jumlah jam kredit perlu diambil kira sebelum melaksanakan cadangan ini.

Hal ini bagi mengelakkan penuntut undang-undang tidak terbeban dengan jam kredit yang terlalu banyak. Pendekatan yang sewajarnya juga perlu diambil kira, mungkin di antara pihak berwajib bersama Kementerian Pengajian Tinggi bagi memastikan setiap fakulti undang-undang di universiti negara ini mempunyai silibus yang standard yang membantu pelaksanaan CBC dan CBE ini kelak.

Sebagai penuntut undang-undang, Muhammad Zukhairi berpendapat pelbagai perkara yang mungkin timbul kesan pengenalan cadangan ini perlu diperhalusi dengan sebaik-baiknya oleh pihak berwajib.

Penasibat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datin Paduka Zaiton Othman pula menegaskan, apa yang penting ialah kajian lebih mendalam mengenai modul dan prosedur perlu dilakukan sebelum ia dilaksanakan.

"Soal tempoh pengajian di luar negara yang pendek berbanding pengajian undang-undang dalam negara bukan isu, yang penting keputusan yang cemerlang diperoleh oleh pelajar.

"Kerajaan kena buat kajian perbezaan modul pengajian sama ada cukup atau kurang. Jika tidak cukup, kena tambah dan cari program yang sesuai.

"Apa yang kita pentingkan ialah prestasi peguam sama ada hasil produk universiti tempatan atau luar negara," jelas beliau.

Kepada Zaid, apa yang beliau harapkan, "Apabila ada CBC dan CBE ini, kita dapat kekal standard serta menghasilkan peguam yang berkualiti tinggi agar kita mempunyai industri dan perkhidmatan perundangan serta juga hakim bermutu tinggi."

3 comments:

abdul hayyi said...

tulis surat kat utusan?

MANTAP!hehe...

aku tak setuju ngan keputusan zaid itu!

muhammad zukhairi said...

ana setuju bersyarat;p hehe..

Anonymous said...

hang setuju dgn sebahagian dpd keputusan ni... tetapi perlu ada sedikit "adjustment". pelajar ipta belajar 4 thn, overseas 3 thn. apa kata dpd meluangkan 1 tahun xtra lg, tahun ke-4 tu difokuskan kpd CBE? bg graduan overseas/program eksternal yg stu 3 thn, 1 thn utk buat CBE.

secara realistiknya, sukatan CLP tu "obselete" dlm beberapa aspek, yg sememangnya memerlukan kajian semula. tidak dpt dinafikan jg bhw isu CLP telah byk menimbulkan syak/kontroversi di kalangan pihak2 yg terlibat dlmnya.

inilah masanya utk buktikan ketelusan sistem kita sebelum terlambat. "time to revise & take action!"

kt memerlukan peguam2 yg blh berfikir secara analitikal, bkn skadar genius dlm peperiksaan. jd, tak kira sama ada graduan ipta/luar negara, seharusnya kena ada satu standard yg sama. tp pd massa yg sama, tdk dpt dinafikan bhw cdg mewujudkan CBE memerlukan kajian & pertimbangan yg amat teliti sebelum dilaksanakan.